kaki melangkah walaupun lesu,meskipun hari menghampiri senja perjalanan harus kuteruskan.Onak duri yang kutempuhi adalah cabaran..
andai terjatuh pasti kubangkit semula selagi kudrat termampu....
.

Thursday, September 16, 2010

Sabah, Sarawak Masih Mundur Selepas 47 Penubuhan Malaysia


SHAH ALAM 16 Sept - Sambutan Hari Malaysia ke-47 yang diringi dengan pengisytiharan cuti umum oleh kerajaan hanyalah satu permainan politik Umno-Barisan Nasional untuk menggembirakan rakyat Sabah dan Sarawak namun realitinya kedua-dua negeri tersebut masih jauh ketinggalan dari segi arus pembangunan negara.

Mengimbau kembali setelah 47 tahun berada dalam Persekutuan Malaysia, keadaan sosio-ekonomi Sabah dan Sarawak tidak banyak berubah dengan segala kekayaan dibolot oleh segelintir golongan elitis mega kaya dan kroni pimpinan Umno-BN.

Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit) berkata diskriminasi kaum masih berleluasa terhadap rakyat sabah dan Sarawak manakala kebanyakan rakyat kedua-dua negeri masih belum mampu menikmati kemudahan asas seperti bekalan air bersih dan elektrik, pendidikan, perkhidmatan kesihatan serta perumahan selesa.

"16 September sebetulnya adalah hari merdeka untuk rakyat Sabah and Sarawak tetapi apakah kebaikannya kepada rakyat Malaysia dan apa muslihat di sebalik mengisytiharkan 16 September 2010 sebagai cuti umum?," soal Sekretariat Jerit dalam satu kenyataan semalam.

Jerit berkata perubahan sikap Umno-BN terhadap Sabah dan Sarawak terserlah apabila Pakatan Rakyat menang besar dalam Pilihan Raya Umnum ke-12 pada 2008 dengan berjaya menawan lima buah negeri sebelum Umno-BN melakukan rampasan kuasa di Perak.

"Setelah BN mengalami kekalahan signifikan pada pilihan raya umum yang lepas, mereka sedar perasaan rakyat biasa tidak boleh diabaikan. Kerajaan pusat masih kekal di bawah BN kerana undi yang diperolehi daripada rakyat Sabah dan Sarawak. Malah Johor yang dulunya adalah kubu kuat BN telah berjaya ditembusi oleh Pakatan Rakyat.

"Keadaan ini telah digunakan oleh Pakatan Rakyat dan juga rakyat untuk mengatakan bahawa Pakatan Rakyat hanya perlukan sedikit sokongan dari Sabah dan Sarawak untuk mengambil alih kerajaan persekutuan. Ini telah menakutkan BN. Bukan itu sahaja, angin perubahan yang melanda Semenanjung juga telah sampai ke Sabah dan Sarawak. Ini bermakna deposit tetap (undi tetap) BN di Sabah dan Sarawak tergugat.

"Lagipun apabila soalan mengenai hak, sejarah dan kemiskinan rakyat Sabah dan Sarawak terutamanya kaum Orang Asal dipersoalkan, BN sudah merasa ia tidak boleh berdiam lagi. Gula-gula harus diberi kepada rakyat Sabah dan Sarawak . Maka Hari Malaysia diberi cuti dan konsep 1Malaysia diperkenalkan untuk meyakinkan semua rakyat adalah sama rata," jelas Jerit lagi.

Akan tetapi setelah 53 tahun Malaya merdeka dan 47 tahun selepas penubuhan Malaysia keadaan kehidupan rakyat sabah dan Sarawak tidak banyak memperlihatkan perubahan ketara.

"Isu perkauman masih menjadi agenda utama parti-parti politik. Diskriminasi di kalangan masyarakat Malaysia masih berleluasa. Walaupun negeri Sabah dan Sarawak adalah sebahagian daripada Malaysia namun ia merupakan negeri yang paling miskin dengan sosio ekonominya yang paling rendah.

"Hasil kajian Program Pembangunan Bangsa-bangsa Bersatu (UNDP) menunjukkan kemiskinan yang paling serius di Malaysia adalah di kalangan komuniti pribumi di Sabah dan Sarawak. Sarawak adalah sebuah negeri yang mempunyai banyak hasil bumi seperti minyak, gas, balak dan sebagainya dan berpotensi besar menjadi negeri yang paling maju di Malaysia namun keadaan rakyat di sana sungguh menyedihkan.

"Mengikut statistik, Sabah dan Sarawak masih terdapat banyak kampung yang belum dihubungkan dengan jalan raya dan lebih daripada satu perempat isi rumah tidak ada akses kepada elektrik," jelas kenyataan itu.

Selain itu, kata Jerit, lebih 40 peratus isi rumah di Sabah dan Sarawak masih tiada kemudahan air bersih dan air yang dirawat.

Menurut perangkaan, seramai 25,254 penduduk di Sarawak masih tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang membabitkan rakyat tempatan dan warga asing yang telah lama menetap di Sarawak.

"Konsep kewarganegaraan yang berteraskan perkauman sudah lama mengancam kumpulan-kumpulan Bumiputera yang lain, termasuk kaum Iban di Sarawak dan kaum Kadazan-Dusun di Sabah, serta kaum bukan Melayu di Semenanjung Malaysia seperti Orang Asal.

"Oleh kerana kaum Kadazan-Dusun dan kumpulan-kumpulan pribumi yang lain adalah kaum Bumiputera di Sabah dan Sarawak, mereka juga berhak mendapat hak Bumiputera seperti yang termaktub dalam Perlembagaan akan tetapi keadaan ini tidak berlaku.

"Diskriminasi kaum berlaku di setiap pelusuk negara dan diinstitusikan oleh kerajaan untuk memastikan rakyat tidak bersatu dan sentiasa dengki dan curiga terhadap satu sama lain. Pecah dan perintah memastikan mereka di puncak kuasa selamat.

"Sumber dan harta negara pula dikuasai dan dinikmati oleh segelintir sahaja manakala majoriti rakyat merana. Penganiayaan terhadap rakyat pribumi di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak semakin hari semakin teruk dan hak asasi mereka dicabuli," tegas Jerit.

Jerit berkata perubahan sebenar harus di bawa oleh rakyat.

Pengumuman 16 September sebagai cuti umum tidak mencukupi dan rakyat memerlukan lebih daripada itu.

"Semua rakyat harus mendapat hak yang saksama dan harus boleh menikmati sumber Malaysia bersama. Sehingga perubahan ini berlaku, Hari Malaysia hanya adalah satu lagi cuti umum dalam banyak-banyak cuti umum yang ada di Malaysia," kata Jerit.

Mengimbas sejarah penubuhan Malaysia, Jerit menjelaskan kemerdekaan yang diperolehi oleh Malaya ketika itu pada tahun 1957 adalah kemerdekaan dalam Darurat.

"Pada masa yang sama pengaruh komunis sedang merebak di Asia Tenggara dan Fron Sosialis serta ideologi komunis masih segar di Malaya. Maka demi mengawal gerakan komunis dan untuk memastikan Borneo, Singapura dan Malaya masih di bawah kawalan mereka, British telah mencetuskan idea Malaysia.

"Pada awalnya Brunei pun termasuk sekali dalam penubuhan Malaysia ini tetapi pada saat akhir mereka menarik diri kerana bantahan rakyat Brunei. Singapura, Sabah dan Sarawak setuju bersama kerana kalau tidak kemerdekaan tidak dapat diperolehi.

"Rancangan British ini juga ditentang oleh Indonesia dan Filipina kerana mereka melihat Malaysia sebagai empayar British di Asia Tenggara. Bukan itu sahaja, Sabah dan pulau sekitarnya menjadi rebutan Indonesia dan Filipina.

"Namun, semua bantahan ini diatasi dan Malaysia ditubuhkan pada 16 September 1963. Semasa penubuhan, kerajaan Malaya telah memberi banyak janji manis kepada Singapura, Sabah dan Sarawak. Tetapi selepas itu, mimpi indah bertukar menjadi mimpi ngeri.

"Pada 1965, Singapura telah keluar dari Malaysia kerana tidak berpuas hati dengan Kerajaan Persekutuan. Rakyat Sabah dan Sarawak pula masih hidup merana walaupun sudah 47 tahun dalam Persekutuan Malaysia," jelas Jerit.