kaki melangkah walaupun lesu,meskipun hari menghampiri senja perjalanan harus kuteruskan.Onak duri yang kutempuhi adalah cabaran..
andai terjatuh pasti kubangkit semula selagi kudrat termampu....
.

Wednesday, November 3, 2010

Kita Perlukan Perubahan


UNDILAH CALUN PKR


Kerana kesibukan tugas harian,saya tidak berkesempatan membantu kempen pilihanraya dalam PRK Batu Sapi.Namun saya rasa terpanggi untuk membantu berkempen walaupun tidak hadir ke Batu Sapi setelah terbaca catatan seorang blogger PBS (Persatuan Blogger Sabah).Sudah sampai masanya rakyat Sabah memberi peluang kepada Pakatan Rakyat kerana BN telah lama diberi peluang namun leka dan taraf hidup rakyat khasnya di Batu Sapi amat mengecewakan.
Marilah kita bertukar kepada Pakatan Rakyat---UNDILAH CALUN PKR



Catatan saya petik drp: http://muslioli.blogspot.com/

Lima hari empat malam di Batu Sapi, Sandakan, merupakan satu pengalaman cukup berharga buat seorang blogger. Saya perlu berada di satu kawasan untuk menulis dan membuat catatan. Jika saya menulis dan menyampaikan cerita tentang Batu Sapi dengan sekadar membaca dan mendengar cakap-cakap orang, barangkali catatan saya kurang berkesan.

Saya memandu sendirian ke Batu Sapi melalui jalan Pitas, Kanibongan, Paitan terus ke Sandakan. Kereta Nissan X Trail saya memang tahan lasak dan sesuai untuk adventure. Sambil itu saya ingin melihat sendiri keadaan pekan-pekan kecil di kawasan Pedalaman Sabah yang belum pernah saya kunjungi.

Ternyata kawasan pekan kecil masih dalam keadaan amat daif dan miskin. Ketika singgah di Kanibongan, saya berbual dengan penduduk Ubian dan Suluk sedang menjual hasil laut. Menurut mereka di sebelah darat kebanyakannya orang Rungus dan Dusun, tetapi kawasan pantai kaum Ubian, Bajau dan Suluk.

Kanibongan yang satu ketika kaya dengan balak, hanya terdapat 3 atau 4 kedai runcit yang diperbuat dari papan. Manakala pekan kecil Paitan hanya sebuah kedai runcit sahaja. Disamping tersedia tapak tamu (pasar minggu) yang sunyi sepi sewaktu saya singgah pada petang itu.

Saya seolah-olah menonton filem "Back to the Future". Seperti saya kembali 50 tahun yang lalu. Beginikah keadaan Sabah sewaktu pemerintahan British?

Tetapi airmata saya hanya menitis bila melihat kemiskinan rakyat di kampung Lupak Maluas, Kg Gas, Kg Istimewa, Kg Bahagia dan kawasan-kawasan perkampungan Bumiputera Islam di sekitar persisiran pantai parlimen Batu Sapi.

Bunyi musik dan nyanyian Karaoke dari markas BN di perkarangan MPS hanya seperti lagu-lagu dari filem Hindustan yang menyebabkan rakyat lupa kesusahan hidup mereka buat seketika. Filem Hindustan sentiasa menggambarkan kekayaan tetapi selepas menonton filem, rakyat kembali ke rumah mereka yang hampir roboh!

Begitulah nasib penduduk miskin di kawasan Batu Sapi!

Saya juga diberitahu, Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan Mansoor gagal menahan sebak bila memasuki sebuah rumah rakyat miskin yang lumpuh dalam siri lawatan ke kawasan itu. Barangkali keadaan hidup rakyat di kawasan Lupak Maluas tidak pernah dilihat di mana-mana dalam negara ini.

Seumur hidup, saya tidak pernah nampak minyak makan dan kicap dijual dalam peket plastik dengan harga 20 sen sepeket!!

Untuk menggoreng ikan, 5 peket minyak makan diperlukan. Jika tidak ada duit seringgit, ikan hanya direbus bersama garam dan kunyit. Bayangkan betapa daifnya hidup rakyat di kawasan ini..MasyAllah!

"Keadaan seperti itu hanya berlaku di setengah negara Afrika yang amat miskin!" Kata Tan Sri Majid Khan yang kebetulan bertemu dengannya selepas makan seafood di Ocean King.
"Yang peliknya, kemiskinan ini berlaku dalam bandar, tak sampai 5 batu dari bandar Sandakan" Begitu nada kesal yang diluahkan Datuk Akhbar Khan, bekas MP Libaran yang bersama dengan Tan Sri Majid.

Seperti kawasan filem "Slumdog Millionare" tegas Akbar lagi.

Sungguhpun begitu, rakyat bumiputera Islam yang terdiri dari Bajau dan Suluk merupakan penyokong hardcore UMNO dan BN. Walau sekian lama nasib mereka tidak terbela dan kerap dijanjikan bulan dan bintang setiap kali pilihan raya, namun kesetiaan mereka tidak pernah berbelah bahagi! Apakah kemiskinan menjadi punca mereka tiada pilihan dan terus menyokong kerajaan?

Rakyat bumiputera Islam di kawasan Batu Sapi telah terlepas pandang sekian lama. Satu ketika dulu ketika industry balak menjadi penyumbang utama aktiviti ekonomi bandar Sandakan, golongan ini tidaklah miskin seperti keadaan sekarang.

Golongan pengundi bumiputera Islam yang merupakan 42% daripada jumlah pengundi adalah penyokong setia BN di Batu Sapi. Jika golongan ini masih setia pada BN dalam PRK kali ini, Batu Sapi akan dipertahankan BN. Jika tidak?

sama-sama kita renungkan....

Thursday, September 16, 2010

Sabah, Sarawak Masih Mundur Selepas 47 Penubuhan Malaysia


SHAH ALAM 16 Sept - Sambutan Hari Malaysia ke-47 yang diringi dengan pengisytiharan cuti umum oleh kerajaan hanyalah satu permainan politik Umno-Barisan Nasional untuk menggembirakan rakyat Sabah dan Sarawak namun realitinya kedua-dua negeri tersebut masih jauh ketinggalan dari segi arus pembangunan negara.

Mengimbau kembali setelah 47 tahun berada dalam Persekutuan Malaysia, keadaan sosio-ekonomi Sabah dan Sarawak tidak banyak berubah dengan segala kekayaan dibolot oleh segelintir golongan elitis mega kaya dan kroni pimpinan Umno-BN.

Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit) berkata diskriminasi kaum masih berleluasa terhadap rakyat sabah dan Sarawak manakala kebanyakan rakyat kedua-dua negeri masih belum mampu menikmati kemudahan asas seperti bekalan air bersih dan elektrik, pendidikan, perkhidmatan kesihatan serta perumahan selesa.

"16 September sebetulnya adalah hari merdeka untuk rakyat Sabah and Sarawak tetapi apakah kebaikannya kepada rakyat Malaysia dan apa muslihat di sebalik mengisytiharkan 16 September 2010 sebagai cuti umum?," soal Sekretariat Jerit dalam satu kenyataan semalam.

Jerit berkata perubahan sikap Umno-BN terhadap Sabah dan Sarawak terserlah apabila Pakatan Rakyat menang besar dalam Pilihan Raya Umnum ke-12 pada 2008 dengan berjaya menawan lima buah negeri sebelum Umno-BN melakukan rampasan kuasa di Perak.

"Setelah BN mengalami kekalahan signifikan pada pilihan raya umum yang lepas, mereka sedar perasaan rakyat biasa tidak boleh diabaikan. Kerajaan pusat masih kekal di bawah BN kerana undi yang diperolehi daripada rakyat Sabah dan Sarawak. Malah Johor yang dulunya adalah kubu kuat BN telah berjaya ditembusi oleh Pakatan Rakyat.

"Keadaan ini telah digunakan oleh Pakatan Rakyat dan juga rakyat untuk mengatakan bahawa Pakatan Rakyat hanya perlukan sedikit sokongan dari Sabah dan Sarawak untuk mengambil alih kerajaan persekutuan. Ini telah menakutkan BN. Bukan itu sahaja, angin perubahan yang melanda Semenanjung juga telah sampai ke Sabah dan Sarawak. Ini bermakna deposit tetap (undi tetap) BN di Sabah dan Sarawak tergugat.

"Lagipun apabila soalan mengenai hak, sejarah dan kemiskinan rakyat Sabah dan Sarawak terutamanya kaum Orang Asal dipersoalkan, BN sudah merasa ia tidak boleh berdiam lagi. Gula-gula harus diberi kepada rakyat Sabah dan Sarawak . Maka Hari Malaysia diberi cuti dan konsep 1Malaysia diperkenalkan untuk meyakinkan semua rakyat adalah sama rata," jelas Jerit lagi.

Akan tetapi setelah 53 tahun Malaya merdeka dan 47 tahun selepas penubuhan Malaysia keadaan kehidupan rakyat sabah dan Sarawak tidak banyak memperlihatkan perubahan ketara.

"Isu perkauman masih menjadi agenda utama parti-parti politik. Diskriminasi di kalangan masyarakat Malaysia masih berleluasa. Walaupun negeri Sabah dan Sarawak adalah sebahagian daripada Malaysia namun ia merupakan negeri yang paling miskin dengan sosio ekonominya yang paling rendah.

"Hasil kajian Program Pembangunan Bangsa-bangsa Bersatu (UNDP) menunjukkan kemiskinan yang paling serius di Malaysia adalah di kalangan komuniti pribumi di Sabah dan Sarawak. Sarawak adalah sebuah negeri yang mempunyai banyak hasil bumi seperti minyak, gas, balak dan sebagainya dan berpotensi besar menjadi negeri yang paling maju di Malaysia namun keadaan rakyat di sana sungguh menyedihkan.

"Mengikut statistik, Sabah dan Sarawak masih terdapat banyak kampung yang belum dihubungkan dengan jalan raya dan lebih daripada satu perempat isi rumah tidak ada akses kepada elektrik," jelas kenyataan itu.

Selain itu, kata Jerit, lebih 40 peratus isi rumah di Sabah dan Sarawak masih tiada kemudahan air bersih dan air yang dirawat.

Menurut perangkaan, seramai 25,254 penduduk di Sarawak masih tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang membabitkan rakyat tempatan dan warga asing yang telah lama menetap di Sarawak.

"Konsep kewarganegaraan yang berteraskan perkauman sudah lama mengancam kumpulan-kumpulan Bumiputera yang lain, termasuk kaum Iban di Sarawak dan kaum Kadazan-Dusun di Sabah, serta kaum bukan Melayu di Semenanjung Malaysia seperti Orang Asal.

"Oleh kerana kaum Kadazan-Dusun dan kumpulan-kumpulan pribumi yang lain adalah kaum Bumiputera di Sabah dan Sarawak, mereka juga berhak mendapat hak Bumiputera seperti yang termaktub dalam Perlembagaan akan tetapi keadaan ini tidak berlaku.

"Diskriminasi kaum berlaku di setiap pelusuk negara dan diinstitusikan oleh kerajaan untuk memastikan rakyat tidak bersatu dan sentiasa dengki dan curiga terhadap satu sama lain. Pecah dan perintah memastikan mereka di puncak kuasa selamat.

"Sumber dan harta negara pula dikuasai dan dinikmati oleh segelintir sahaja manakala majoriti rakyat merana. Penganiayaan terhadap rakyat pribumi di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak semakin hari semakin teruk dan hak asasi mereka dicabuli," tegas Jerit.

Jerit berkata perubahan sebenar harus di bawa oleh rakyat.

Pengumuman 16 September sebagai cuti umum tidak mencukupi dan rakyat memerlukan lebih daripada itu.

"Semua rakyat harus mendapat hak yang saksama dan harus boleh menikmati sumber Malaysia bersama. Sehingga perubahan ini berlaku, Hari Malaysia hanya adalah satu lagi cuti umum dalam banyak-banyak cuti umum yang ada di Malaysia," kata Jerit.

Mengimbas sejarah penubuhan Malaysia, Jerit menjelaskan kemerdekaan yang diperolehi oleh Malaya ketika itu pada tahun 1957 adalah kemerdekaan dalam Darurat.

"Pada masa yang sama pengaruh komunis sedang merebak di Asia Tenggara dan Fron Sosialis serta ideologi komunis masih segar di Malaya. Maka demi mengawal gerakan komunis dan untuk memastikan Borneo, Singapura dan Malaya masih di bawah kawalan mereka, British telah mencetuskan idea Malaysia.

"Pada awalnya Brunei pun termasuk sekali dalam penubuhan Malaysia ini tetapi pada saat akhir mereka menarik diri kerana bantahan rakyat Brunei. Singapura, Sabah dan Sarawak setuju bersama kerana kalau tidak kemerdekaan tidak dapat diperolehi.

"Rancangan British ini juga ditentang oleh Indonesia dan Filipina kerana mereka melihat Malaysia sebagai empayar British di Asia Tenggara. Bukan itu sahaja, Sabah dan pulau sekitarnya menjadi rebutan Indonesia dan Filipina.

"Namun, semua bantahan ini diatasi dan Malaysia ditubuhkan pada 16 September 1963. Semasa penubuhan, kerajaan Malaya telah memberi banyak janji manis kepada Singapura, Sabah dan Sarawak. Tetapi selepas itu, mimpi indah bertukar menjadi mimpi ngeri.

"Pada 1965, Singapura telah keluar dari Malaysia kerana tidak berpuas hati dengan Kerajaan Persekutuan. Rakyat Sabah dan Sarawak pula masih hidup merana walaupun sudah 47 tahun dalam Persekutuan Malaysia," jelas Jerit.

Friday, August 27, 2010

FAQ Tentang Bayi Demam


Demam ialah satu cara badan kita melawan jangkitan. Makrofaj iaitu sel 'pembersih' dalam badan kita sentiasa dalam keadaan berkawal. Apabila mereka menemui sesuatu yang asing – seperti virus, bakteria atau fungus – mereka akan membersihkannya sebanyak yang mungkin. Pada masa yang sama, mereka akan meminta bantuan, memberi isyarat kepada otak untuk meningkatkan suhu badan. Haba akan secara langsung membunuh beberapa jenis bakteria. Ini juga akan meningkatkan penghasilan sel darah putih dan bahan kimia yang membunuh kuman.


Bayi selalunya akan demam selepas menerima imunisasi. Demam juga boleh diikuti dengan selsema, sakit tekak, jangkitan telinga, penyakit respiratori (seperti pneumonia, krup, penyakit virus dan jangkitan saluran urinari.

Apakah suhu badan yang normal bagi seorang bayi?

Demam merupakan suhu badan yang melebihi suhu normal badan. Suhu badan normal pada bayi yang sihat adalah 36.5 darjah Celcius sehingga 37.8 darjah Celcius. Bayi mempunyai suhu yang lebih tinggi daripada kanak-kanak yang lebih besar. Sebab itu jika anda perasan, bayi kebiasaanya akan mempunyai badan yang panas. Secara amnya, bayi tidak dianggap demam kecuali suhunya melebihi 37.7 darjah Celcius pada waktu pagi atau melebihi 38.2 darjah Celcius pada waktu petang.


Bagaimana saya boleh tahu sama ada demam bayi saya ini serius atau tidak?

Apa yang lebih penting untuk diperhatikan adalah bukan suhu badannya sahaja tetapi kelakuan bayi itu sendiri. Sekiranya suhu badan bayi tersebut meningkat kepada 38.9 darjah celcius tetapi dia aktif, masih mempunyai selera makan dan menyusu dengan baik maka tidaklah perlu dirisaukan sangat. Tetapi jika suhu badannya hanya 38.2 darjah celcius dan dia tidak aktif, tidak ada selera makan, meragam dan sukar untuk ditenangkan maka bawalah bayi untuk pemeriksaan lanjut.

Jika suhu anak anda meningkat secara tiba-tiba, menyebabkannya menjadi pucat, kejang, bergerak menggerenyet tidak terkawal dan mungkin tidak sedarkan diri, dia sedang mengalami serangan yang disebabkan oleh demam, yang dikenali sebagai kekejangan febril. Ini amat menakutkan apabila dilihat tetapi ia jarang membahayakan bayi. Walaupun ia kelihatan berpanjangan, serangan ini selalunya berterusan hanya selama 20 saat dan jarang berlaku lebih dari 2 minit. Jika serangan berlaku lebih dari 4 minit, hubungi ambulans untuk membawa anak anda ke bahagian Kemalangan dan Kecemasan dengan segera atau bawa bayi anda ke hospital.

Semasa anak anda mengalami serangan, jangan kekang bayi anda dengan apa-apa cara sekali pun. Longgarkan mana-mana pakaian yang ketat dan keluarkan sebarang benda dari mulutnya seperti puting atau makanan. Hubungi doktor anda apabila serangan sudah reda.

Bagaimana saya boleh mengesan demam?

Ibu bapa selalunya boleh tahu jika anak mereka demam dengan menyentuh atau mencium dahinya (kajian menunjukkan metod ini tepat sebanyak 75%). Gunakan termometer untuk mendapatkan bacaan yang lebih tepat. Jangan gunakan termometer oral (mulut) sehingga anak anda berusia 3 tahun.

Jika bayi anda masih terlalu kecil untuk anda menggunakan termometer oral, bacaan suhu boleh diambil dari ketiaknya jika dia demam. Pegang hujung bebuli termometer di ketiak bayi dengan sikunya rapat ke sisi selama lebih kurang 5 minit (termometer digital terbaru akan berbunyi bip apabila suhu telah diambil). Bacaan ketiak akan memberikan bacaan satu atau dua darjah lebih rendah daripada bacaan internal, jadi tingkatkan bacaan yang diambil.

Termometer telinga adalah cepat dan tepat untuk mengambil suhu anak anda tetapi harganya mahal dan memerlukan tangan yang stabil untuk mendapatkan bacaan tepat. Anda juga boleh menggunakan jalur demam yang anda letakkan pada dahi anak anda dan walaupun bacaannya kurang tepat, ia mudah digunakan ke atas bayi yang sedang beronta-ronta.

Apa yang boleh saya lakukan untuk merawat demam bayi saya?

Anda tidak perlu merawat demam kecuali anak anda berasa tidak selesa atau jika dia pernah mengalami kekejangan febril. Berikut adalah langkah-langkah merawat demam :

* Jika anak anda demam dan berusia lebih daripada 8 minggu, anda boleh berikannya Panadol yang khasnya untuk bayi dan kanak-kanak, untuk menurunkan suhunya. Ikuti arahan dos pengambilan dengan berhati-hati. Dos yang tepat bagi ibuprofen (Nurofen) juga boleh diberikan. Parasetamol dan ibuprofen tidak disarankan kepada bayi di bawah usia 2 bulan dan jangan berikan aspirin kepada bayi atau anak anda yang berusia di bawah 16 tahun yang dikaitkan dengan Sindrom Reye's, penyakit yang sebenarnya jarang berlaku tetapi boleh membawa kematian.

* Pakaikan bayi anda baju kain kapas yang nipis (jangan balut bayi anda untuk mengurangkan demam).

* Pastikan biliknya sejuk. Jika perlu, letakkan kipas berhampiran kot bayi dan gunakan sehelai cadar atau selimut nipis untuk menyelimutkannya.

* Berikan banyak cecair. Bayi kecil memerlukan lebih banyak air daripada biasa, iaitu susu badan atau susu formula . Jika anda sudah memberikan minuman lain kepada bayi anda, berikan lollipop ais, sup jernih atau jus buah-buahan telah yang dicairkan.

* Cuba mandian berspan. Letakkan bayi anda dalam tub mandi yang cetek dengan air yang suam dan gosokkan badannya, satu bahagian pada satu masa, dengan kain flanel atau span yang diperah sedikit. Jangan keringkan badan bayi anda - biarkan air tersejat sendiri. Ini mungkin membuatnya lebih selesa.

* Jangan letakkan bayi anda di atas katil sahaja. Walau pun dia tidak boleh terlalu aktif, aktiviti sederhana adalah baik.

* Jangan biarkan anak anda kelaparan - bayi yang sakit memerlukan banyak kalori dan cecair.

Jangan risau sangat. Sesetengah bayi mungkin demam dan berkelakuan seperti biasa. Bayi yang lain akan meragam sedikit tetapi dengan jagaan yang baik, bayi anda akan kembali sihat semula dengan segera.

sumber http://www.sihatselalu.com.my