kaki melangkah walaupun lesu,meskipun hari menghampiri senja perjalanan harus kuteruskan.Onak duri yang kutempuhi adalah cabaran..
andai terjatuh pasti kubangkit semula selagi kudrat termampu....
.

Friday, January 8, 2010

UMNO Terdesak

Semakin sukar untuk Malaysia menjadi sabuah Negara aman damai selagi UMNO terus memerintah. UMNO bila tersepit mempergunakan isu kaum dan agama di negara ini. UMNO yang ada hari ini tak sama dengan UMNO zaman Tunku Abdul Rahman dahulu yang lebih terbuka dan dihormati banyak pihak.

Hari ini cara politik UMNO telah meluaskan jurang perbezaan kaum dan agama. Jika UMNO dibiarkan terus memerintah, ia akan menyebabkan negara dan rakyat sentiasa dilagakan kerana kesempatan ini akan diambil oleh pemimpin mereka untuk mempolitikkan perbezaan kaum dan agama.

Kita tahu bukan semua ahli UMNO setuju dengan permainan politik seperti ini. Tapi kita juga tahu ada golongan dalam UMNO mahu orang Melayu mengangkat mereka menjadi wira pembela agama. Golongan ini melalui kuasa kerajaan telah melarang akhbar The Herald, yang hanya dijual di gereja-gereja Katolik saja, daripada menggunakan perkataan “Allah”, dan mereka yakin Mahkamah Rayuan akan “memperbetulkan” keputusan yang ada sekarang.

Kita mesti sentiasa waspada bila ada kumpulan menggelarkan diri mereka pembela agama dan Allah. Seperti kata Allahyarham Gus Dur, bekas presiden Indonesia dan pemimpin besar Nahdatul Ulama; Tuhan yang Maha Besar, Maha Agung dan Maha Berkuasa tidak perlu dibela, yang memerlukan pembelaan adalah manusia yang dianiayai dan ditindas.

Jadi bila ada kumpulan NGO yang dibiayai oleh UMNO ini berkumpul dan berteriak “Islam dinodai” atau “Selamatkan agama kita”, rakyat mesti berhati-hati dan perlu waspada tentang apa motif sebenar mereka.

Soal penggunaan perkataan Allah (God) atau Tuhan Allah (the Lord God) oleh orang Kristian Bumiputera di Sabah dan Sarawak mesti difahami dari perspektif sejarah pra-Merdeka dan sebelum mereka menyertai Malaya untuk membentuk Malaysia pada tahun 1963.

Semasa membaca doa di gereja, ramai penganut Kristian di sana tidak tahu berbahasa Inggeris; lagi pula mereka dari berbagai kaum seperti Iban, Kadazandusun, Bidayuh, Murut, Melanau, Kelabit, Kedayan dan sebagainya yang mempunyai bahasa dan dialek yang berbeza.

Jadi mereka memilih satu bahasa yang difahami semua pihak, iaitu Bahasa Melayu. Kitab Bible berbahasa Melayu yang mereka gunakan datangnya dari Indonesia. Bible mereka menggunakan perkataan Allah.

Sejak zaman-berzaman orang Islam di Sabah dan Sarawak tidak menghadapi apa-apa masalah tentang hal ini. Begitu juga orang UMNO di Semenanjung yang tak rasa sensitif. Kalau benar orang UMNO marah, mengapa isu ini tak timbul pada masa dahulu?

Mungkin kerana sebelum ini kuasa UMNO dan Barisan Nasional di Parlimen sangat kuat, maklumlah mereka ada 2/3 kerusi, iaitu boleh buat apa saja yang mereka suka. Sekarang banyak hal dengan tiba-tiba menjadi “sensitif”.

Ini kerana kedudukan politik UMNO sudah goyang. Persoalannya ialah, mengapa UMNO membenarkan nama Allah digunakan sejak sekian lama. Mengapa tidak arahkan semua doa dan percakapan dalam gereja supaya jangan guna nama Allah?

Bila orang bukan Islam diminta menyayi Ya Allah Selamatkan Sultan Kami adakah mereka melakukan kesalahan? Mengapa hanya The Herald diharamkan daripada menggunakan perkataan Allah?

Sudah tentu The Herald tidak akan menggunakan perkataan itu kalau penganut dan pembacanya menggunakan perkataan lain dalam ritual sembahyang dan doa mereka. Jadi Perdana Menteri Najib dan Menteri Dalam Negeri Hishamuddin kena semaklah doa orang Kristian di Sabah dan Sarawak – jika didapati mereka menggunakan perkataan Allah, mungkin tindakan keras harus diambil.

Tapi sebelum mengambil tindakan keras, kena semak juga sejarah. Saya difahamkan bahawa pada abad ke-17 sudah ada perkataan Allah untuk Tuhan dalam kamus Melayu-Latin. Allah juga disebut dalam kitab doa Katolik yang dibawa ke Tanah Melayu pada abad ke-19.

Persoalannya, jika tindakan keras diambil, adakah ia akan membantu usaha dakwah Islamiah atau mencacatkan imej Islam semata-mata kerana ada orang tertentu mahu jadi wira agama tanpa kajian yang mendalam.

Para alim ulamak seluruh dunia Islam sudah lama menerima orang dari agama lain menggunakan nama Allah sebagai nama Tuhan. Antaranya yang diguna pakai oleh umat Kristian Koptik di Mesir dan Kristian di Lubnan, Palestin, Iraq dan beberapa negara umat Islam yang lain.

Sudah tentu ulamak-ulamak UMNO juga sedar perkara ini kerana mereka sudah jauh berjalan dan banyak pengalaman. Tak kan lah ulamak UMNO yang amat tinggi ilmu agama mereka buat-buat tak faham semata-mata nak “bersihkan” Islam dari segala unsur-unsur kaum, budaya dan agama lain.

Tak kan mereka tak sedar Bahasa Melayu kita masih lagi mengekalkan Bahasa Sanskrit dari asal usul Hindu untuk Islam seperti perkataan sembahyang, puasa, syurga, neraka, dosa, pahala dan sebagainya.

Kita telah ada cukup undang undang melarang sesiapa sekali pun yang berusaha untok menarik minat orang Islam kapada agama lain. Ini larangan yang jelas. Kepercayaan kapada ajaran agama kita yang tulin adalah benteng untuk kita memberhentikan mana mana usaha untuk membawa orang Islam keluar dari akidah Islam. Kalau ini belum cukup itu bererti pegangan agama kita lemah. Siapa yang perlu disalahkan?

~Zaid Ibrahim~

Tuesday, January 5, 2010

JABATAN AIR KUALA PENYU UNTUK DIJUAL

Oleh: LUQMAN HAREEZ ABDULLAH

SEPERTI yang kita sedia maklum, bekalan air bersih dalam kehidupan kita yang bergelar manusia teramat penting untuk meneruskan kehidupan seharian, namun bagi penduduk Kampung Gorowot, 11 kilometer daripada pekan Kuala Penyu sudah lama tidak merasai bekalan air bersih.

Para penduduk sebelum ini mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Barisan Nasional kerana telah membina Tangki Utama di Kampung Gadong dan Kampung Kayul untuk mengatasi masalah ini; namun ianya belum pasti boleh beroperasi pada tahun ini.

Persoalan yang timbul di sini ialah apakah Jabatan Air Kuala Penyu sudah dijual atau untuk dijual kepada pengusaha bekalan air bersih kerana amat dikesalkan penduduk Kampung Gorowot tidak menerima bekalan air bersih semenjak 1999 sehinggalah sekarang.

Ini bermakna sudah 10 tahun Penduduk Kampung Gorowot tidak menerima bekalan air bersih.sekalipun tidak pernah mengingkari permintaan pemimpin Barisan Nasional agar terus memberikan sokongan kepada BN.

“Kami terpaksa menggunakan perigi yang selalu kering dan berbau lumpur kerana sumber air tidak mencukupi untuk menampung bilangan penduduk yang bertambah ramai,” ujar Onong dengan nada berseloroh mengakui badannya berbau lumpur kerana mandi air perigi berlumpur.

Onong kesal kerana penduduk kampung terpaksa membayar harga yang tinggi untuk mendapatkan bekalan air bersih daripada individu yang menjual air yang tidak diketahui puncanya dengan harga RM100 satu lori yang boleh memuat tiga buah tangki kecil dan mampu bertahan selama lima hari.

“Jadi kami terpaksa membayar lebih RM400 sebulan? Bukankah ini menyiksa rakyat? Kami semua termasuk dalam golongan PPRT,” ujar Onong yang kesal dengan ketidak cekapan Jabatan Air Kuala Penyu membekalkan air kepada para pengguna berdaftar seperti beliau.

Sebagai tindakan memprotes ‘kecuain’ dan ‘ketidak cekapan’ Jabatan Air, Onong telah mengembalikan meter air kepada Jabatan Air bagi mengelak dikenakan sewa meter bulanan.

"Buat apa ada meter kalau bekalan air tidak ada?," keluh Onong yang mendesak agar Perdana Menteri 1Malaysia turun padang ke Kuala Penyu kerana masih ramai pengundi dan rakyat Sabah hidup menderita bagaikan unta di padang pasir yang kering kontang akibat ketiadaan air, terutama di musim kemarau; atau mereka mungkin terpaksa memilih pembangkang kerana sudah muak dengan janji BN.

Dipetik drp sabahkini.net

UMNO mahu jadi Juara Rakyat di Bukit Sentosa/Bukit Beruntung?

Salam,

InsyaAllah, hujung mingu ini bersamaan 9 hb Januari 2010, Perdana Menteri Malaysia akan ‘turun’ ke Bandar Bukit Sentosa, Rawang.

Kali ini beliau akan turun sebagai Presiden UMNO bagi merasmikan program ‘UMNO, Juara Rakyat’ yang tidak pernah dibuatnya diadakan di kawasan Hulu Selangor ini.

Bagi saya, rakyat marhaen yang telah berpuluh tahun mendiami Bandar yang ‘usang’ ini amat besar ertinya kehadiran Perdana Menteri ke-5 ini memandangkan sejak dibuka rasanya belum pernah mana-mana Perdana Menteri Malaysia sudi menjengok-jengok ‘luar bandar’ ini. Istilah ‘luar bandar’ ini disebut oleh Ketua Penerangan UMNO tempoh hari. Malahan Perdana Menteri ke-4 sendiri belum pernah menjejakkan kaki ke sini walaupun seringkali berulang ke Kilang Perodua merasmikan pelbagai acara disana! Ironinya, majoriti penduduk Bukit Sentosa / Bukit Beruntung ini adalah pekerja-pekerja Perodua!

Tak mengapalah, mungkin dengan Perdana Menteri baru ini, penduduk Bukit Sentosa / Bukit Beruntung dapat ‘bermanja’ dengan segala keperluan diperhalusi dan diterima. Sementelah tibanya Presiden UMNO ke sini dan dengan tujuan yang murni iaitu mahu menjadi ‘Juara Rakyat’, apa kata dimulakan dengan menjadi juara buat rakyat Bukit Sentosa iaitu sudi-sudikanlah jadikan beberapa impian kami ini menjadi kenyataan:-

1. Bumbung rumah-rumah pangsa yang hampir 10 tahun rosak

- Kami disini kebanyakkan tinggal di rumah-rumah flat yang sangat-sangat daif ‘rupa parasnya’. Selain daripada memohon bantuan daripada Kerajaan Negeri yang kini dibawah Pakatan Rakyat, mungkin inilah masanya Presiden UMNO mengarahkan UMNO negeri membuat ‘magik’ dengan membantu kami membaiki bumbung-bumbung flat kami yang semakin ‘hilang’. Sebenarnya masalah kami ini sejak zaman Khir Toyo lagi tetapi hanya dijadikan modal kempen menuntut undi kami sahaja dimasa Pilihanraya Umum ke 10 dan 11.

UMNO mahu jadi ‘Juara Rakyat’kan? Mulakan dengan Bukit Sentosa / Bukit Beruntung!

2. Jalanraya yang berlubang dan merbahaya

- Seingat kami, dah terlalu banyak berlaku kemalangan yang berpunca daripada keadaan jalanraya yang sangat-sangat daif! Malahan sehingga berlaku kematian. Adakah duit kami memperbaharui cukai jalan hanya digunakan bagi membaiki jalanraya di Putrajaya sahaja?

UMNO mahu jadi ‘Juara Rakyat’kan? Mulakan dengan Bukit Sentosa / Bukit Beruntung!

3. Terlalu banyak rumah flat, teres, kedai dan lot pejabat kosong

- Akibat dosa pemaju yang gagal merealisasikan perancangan dan janji manis mereka, maka kami yang terpedaya dan tertipu inilah yang menjadi mangsa. Hatta Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Selangor turut dihina oleh Menter Besar UMNO suatu ketika dulu apabila dihadiahkan penyapu sebagai tanda kegagalan Majlis Daerah mengutip cukai pintu daripada kami! Nak kutip macam mana kalau jumlah rumah kosong melebihi jumlah rumah yang berpenghuni?

UMNO mahu jadi ‘Juara Rakyat’kan? Mulakan dengan Bukit Sentosa / Bukit Beruntung!

4. Sekolah agama yang ‘super’ padat!

- Akhbar Sinar Harian edisi Selangor/Wilayah ada menyiarkan betapa kritikalnya masalah ini. Dengan pertambahan pelajar, sekolah agama yang ada sudah tidak mampu menampung kepadatannya. Mungkin Perdana Menteri yng mempunyai penasihat-penasihat yang hebat boleh membantu kami dalam hal ini.

UMNO mahu jadi ‘Juara Rakyat’kan? Mulakan dengan Bukit Sentosa / Bukit Beruntung!

5. Keruntuhan akhlak remaja melayu

- Di kawasan kami ini, jelas betapa teruk dan dahsyatnya keruntuhan moral remaja terutama remaja melayu! Dengan yang perempuannya berpakaian tak senonoh, serba sendat dan terbuka malah boleh dibuktikan di hari ‘pesta’ UMNO nanti! Jika tidak silalah ke pasar malam kami... Hatta remaja perempuan berbangsa cina & india pun tak tergamak nak ‘dressing’ macam tu!

UMNO mahu jadi ‘Juara Rakyat’kan? Mulakan dengan Bukit Sentosa / Bukit Beruntung!

6. Kedai Judi yang melebihi ‘keperluan’

- Dengan jumlah penduduk yang bukan beragama Islam yang sangat tinggi, mungkin melebihi 80%, jumlah premis perjudian seperti Kedai Nombor Ekor sangat-sangat tidak relevan! Dari pemerhatian kami, majoriti pelanggannya adalah melayu Islam yang jelas bukanlah mereka yang berada! Selalunya dengan menaiki motosikal atau kereta yang uzur, mereka sanggup menggunakan saki-baki duit yang mereka ada untuk berjudi! Kasihanlah pada melayu-melayu yang susah ini, jangan dinafikan hak keluarga mereka!

UMNO mahu jadi ‘Juara Rakyat’kan? Mulakan dengan Bukit Sentosa / Bukit Beruntung!

Saya rasa, cukuplah dulu sekadar itu, jika Dato’ Seri benar-benar bermaksud mahu UMNO menjadi ‘Juara Rakyat’ yang sebenar!

Sekian, Terima Kasih

‘Orang Lama Bukit Sentosa’

dipetik daripada http://paszbb.blogspot.com/